Thursday, 21 January 2016

SAAT HATI RESAH GELISAH



Dalam hidup kita kadang-kala ada suatu keadaan dimana kita rasa resah, tak tenang, penuh kekusutan dan kegelisahan.

Bila keadaan ini datang, kita cuba untuk melupakannya dengan pelbagai cara. Ada yang pergi bersiar-siar, ada yang mendengar muzik, tengok tv dan sebagainya.

Hati manusia sifatnya berbolak balik. Perkataan Qalb (literalnya bermaksud jantung hati) itu sendiri dalam bahasa Arab merujuk kepada "al-tahwil" yakni sesuatu yang sentiasa berubah-ubah.
Persis seperti hati kita. Selalu berubah-rubah keadaannya. Ada masanya hati kita tenang dan gembira, ada masanya kusut dan sedih. Kadang iman di hati tinggi dan jauh dari maksiat, kadang iman jatuh menjunam lalu kita dekat dengan maksiat.

Itulah fitrah kita. Bahkan Nabi kita, Muhammad ﷺ juga pernah mengalami kegelisahan pada hati. Bila datang keadaan sebegini, Nabi kita akan melazimi istighfar. Kata Nabi ﷺ:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِي وَإِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِي كُلِّ يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ
"Sesungguhnya hatiku pernah diseluputi sesuatu (rasa tak tenang) dan aku beristighfar kepada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali."
[Riwayat Muslim no.2702]


Subhanallah.

Kita sendiri sedia maklum akan kedudukan Nabi kita disisi Allah. Baginda sebaik-baik hamba, baginda suri tauladan ummat manusia, Nabi yang terpilih dengan akhlak yang terbaik.

Namun, Baginda masih beristighfar, memohon ampun kepada Allah agar hatinya sentiasa tenang dalam hidup walaupun syurga itu memang sudah pasti dihuninya.

Berbeza kita dengan Nabi, bila hati kita tak tenang maka pastilah sebab dosa-dosa kita yang banyak sehari-hari. Maka marilah kita cuba lazimi istighfar hingga Allah memberikan rasa tenang dalam hati kita.

Dengan istighfar, dosa terhapus, resah dihilangkan dan insyaAllah hati menjadi lebih tenang.
Sama-sama kita cuba amalkan.
______________
@Ad-Dien Abdul Kadir

No comments:

Post a Comment