Abraj Al-Bait Towers juga dikenali sebagai ‘Makkah Clock Royal Tower’ (Menara Jam Diraja Mekah) adalah sebuah kompleks utama di Kota Suci Makkah, Arab Saudi. Tapak kompleks ‘Abraj Al-Bait Towers’ ini mengandungi bangunan kediaman dan kompleks hotel yang terdiri daripada 7 menara gergasi terletak di seberang jalan ke selatan dari pintu masuk ke Masjidil Haram (Haram al-Sharif) yang menempatkan Kaabah.
Projek ini bertujuan untuk menjadikan masa Makkah sebagai salah satu masa yang utama di dunia dalam menghadapi saingan masa Greenwich, yang akan dihubungkan dengan pusat-pusat Jam Masa terbesar dan utama dunia seperti di London, Paris dan New York dan Tokyo.
‘Makkah Clock Royal Tower’ yang enam kali lebih besar daripada Menara jam Big Ben yang terkenal di London, turut mempunyai balkoni untuk pelawat di bawah setiap jam. Jam Mekah ini disasarkan akan menjadi ‘Pusat Masa Makkah’ iaitu pangkalan Coordinated Universal Time “T-U-C” dan penunjuk jam terkemuka dunia.
Bersejarah
Binaan bersejarah yang dimulakan dan dibangunkan sejak pemerintahan Uthmaniyyah telah terpaksa dirobohkan bagi merealisasikan projek ini dan bagi menampung para jemaah yang mengunjungi Kaabah. Kompleks hotel yang mengandungi 3,000 bilik dan pangsapuri dapat membantu menyediakan sebahagian tempat tinggal bagi lebih lima juta jemaah haji setiap tahun.
Menara utama dan tertinggi di kompleks ini turut mengandungi Hotel tujuh bintang, Muzium Islam dan Balai Cerap Astronomi untuk tujuan saintifik dan juga kegunaan untuk melihat anak bulan pada bulan-bulan mulia.
Rekod Dunia
Bangunan ‘Abraj Al-Bait Towers’ yang merupakan mercu tanda terbaru turut memegang dan memecahkan beberapa rekod dalam dunia pembinaan, termasuk:
- Menara jam tertinggi di dunia
- Enjin Jam terbesar pernah dibina
- Paparan muka jam terbesar di dunia
- Binaan bulan sabit terbesar di dunia
- Hotel tertinggi dan terbesar di dunia
- Ruangan bangunan bertingkat terbesar di dunia
- Kawasan tingkat bawah bangunan terbesar di dunia
- Bangunan kedua tertinggi di dunia selepas ‘Khalifa Dubai Burj’
- Kompleks bangunan paling suci dan masjid terbesar di dunia
Menara Jam Tertinggi
Puncak menara di atas jam telah ditambah setinggi 71 meter (233 kaki) lagi bagi menghasilkan jumlah ketinggian 601 meter (1972 kaki) yang telah menjadikannya bangunan kedua tertinggi di dunia selepas ‘Khalifa Dubai Burj’ dan mengatasi Taipei 101 di Taiwan. Bulan sabit di puncak menara ini telah dibina pada Jun 2011.
Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.
Menara jam di kompleks ini adalah juga bangunan paling tinggi di Arab Saudi dengan ketinggian 601 meter (1972 kaki). Ia turut mengatasi ‘Emirates Park Towers’ di Dubai sebagai hotel tertinggi di dunia.
Bulan Sabit
Menara Abraj Al-Bait Towers yang mengandungi hotel ini juga turut dihias replika bulan sabit di atasnya. Bumbung jam pula 530 meter (1,740 kaki) dari aras bumi, menjadikannya jam seni bina yang paling tinggi di dunia.
Tinggi keseluruhan menara jam Makkah adalah 601 meter dan setinggi 251 meter dari bahagian bawah muka jamnya sehingga ke bahagian paling puncak Bulan Sabit. Bulan Sabit yang berdiameter 23 meter itu adalah yang terbesar pernah dibuat setakat ini dan dapat dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang.
Azan
Suara Azan dari atas menara dapat didengar dengan jelas di sekitar Masjidil Haram, Makkah dari jarak kira-kira tujuh kilometer dan puncak tertinggi jam Mekah diterangi oleh 21,000 mentol cahaya yang dikeluarkan projektor lampu lampu putih terang dan hijau. Keseluruhan sistem pencahayaannya menggunakan 2 juta lampu jenis ‘L E D’ untuk menerangi Jam Makkah pada waktu malam dan cahaya lampu LED yang menghiasinya ini akan berkerlipan setiap kali azan berkumandang dan boleh dilihat dari jarak sehingga 30 kilometer pada waktu malam.
Kalimah takbir (Allah Maha Besar) dan syahadah (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad Rasul Allah) sepanjang 23 meter setiap satunya ditempatkan berselang-seli di sisi menaranya.
Muka Jam
Jam gergasi yang memiliki muka jam di setiap sisinya dengan keluasan paparan setiap satunya 43 meter panjang dan 43 meter lebar (141 × 141 kaki) adalah yang terbesar di dunia. Berat kasar setiap muka jam adalah 36 tan.
Manakala 4 enjin berkuasa, setiap satunya seberat 21 tan diperlukan untuk pengoperasiannya. Oleh itu, enjin Jam Makkah adalah paling besar dan berat pernah dibuat setakat ini. Panel solar juga digunakan sebagai janakuasa sokongan untuk mengendalikan enjin masa ini. 20 rod kilat yang berfungsi secara automatic disediakan bagi melindungi jam dan mentol daripada kejutan kilat.
Ketika memasuki bulan Hijrah / Islam dan cuti, akan dinyalakan 16 cahaya alur tegak sejauh lebih daripada 10 kilometer ke arah langit, berkekuatan 10 kilowatt setiap rasuk. Bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, jam boleh diakses dari dalam menara, pada ketinggian 500 meter dari aras tanah.
Jarum Jam
Panjang jarum minit, 22 meter dan panjang jam 17 meter seberat 6 tan setiap tangan yang dibuat daripada bahan “gentian karbon”. Keseluruhan muka jam Mekah memerlukan 43,000 meter persegi “gentian karbon” yang digunakan dalam industri pesawat moden. Bahan berteknologi tinggi ini memiliki kekuatan tiga kali ganda lebih tinggi daripada kekuatan besi di samping keupayaan untuk menentang keadaan cuaca yang ekstrem.
Hiasan
Selain itu sebanyak 98 juta keping mozek kaca berwarna keemasan digunakan untuk menghiasi keempat-empat permukaan jam itu. Muka jam bewarna putih dan hitam semasa hari siang dan bertukar hijau dan putih pada waktu malam.
Sentuhan Anak Malaysia
Pemaju dan kontraktor kompleks gergasi ini adalah Saudi Binladin Group, iaitu syarikat pembinaan yang terbesar di Arab Saudi. Mercu tanda baharu ini turut mendapat ‘sentuhan anak Malaysia’ kerana ia direka oleh Wan Nazri Wan Aria pemuda kelahiran Melaka yang merupakan jurutera yang bekerja dengan syarikat SL Rasch, Jerman. Beliau diberi pengiktirafan menerajui projek dan bertanggungjawab menampilkan ciri-ciri estetik berbeza Makkah dalam mereka bentuk dan juga pembinaan menara jam gergasi tersebut.
Menara hasil kejituan teknologi Jerman itu juga bekerjasama dengan syarikat jam Straintec, Switzerland dan syarikat Premier Composite Technology dari Dubai kerana memerlukan ‘lightweight steel structure’ bagi menyokong jam gergasi itu. Ironinya 14 tenaga pakar syarikat ini juga terdiri daripada sekumpulan anak muda dari Malaysia, antaranya Ir. Armazizul Arifin yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia.
Kemudahan
Abraj Al-Bait Towers mempunyai kawasan struktur lantai terbesar di dunia dengan keluasan 1,500,000 m2 (16,150,000 kaki persegi). Ruang lantai ini menyamai Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Ia turut mempunyai pusat membeli-belah empat tingkat dan tempat letak kereta yang mampu memegang lebih seribu kenderaan. Di samping itu, menara kediaman akan menempatkan penduduk tetap manakala dua ‘heliports’ (tempat mendarat helikopter) dan pusat persidangan adalah untuk menampung pelancong perniagaan. Secara keseluruhan, boleh menempatkan sehingga 100,000 orang di dalam menara. Tingkat kediaman tertinggi akan berada pada 450 meter (1,480 kaki), betul-betul di bawah jam.
Menurut Kementerian Wakaf Agama Saudi, jumlah kos keseluruhan projek ini adalah tiga bilion dolar dan menara jam sahaja menelan belanja 800 juta USD.
Kompleks Abraj Al-Bait Towers ini telah dirasmikan oleh Penjaga dua masjid suci, raja Abdullah bin Abdul Aziz pada malam AD 20 Ogos 2011 (20 Ramadhan 1432 Hijri).
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)